KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus menggunapakai strategi lapuk terutamanya dalam hal ujian saringan COVID-19 yang rendah, dakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, KKM pada 21 Jun melaporkan hanya 58,384 ujian saringan COVID-19 dilakukan dengan 4,611 kes positif dikesan dan kadar kes positif pada 7.90 peratus.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, itu merupakan kadar kes positif harian yang tertinggi sejak bulan Januari tahun ini.

“Ujian saringan telah menurun sebanyak 52 peratus sejak 29 Mei dan tidak mengejutkan juga bahawa kes harian juga menurun sebanyak 48 peratus dalam tempoh yang sama.

Untuk membandingkan, pada bulan April 2021 yang lalu Malaysia secara puratanya melaporkan sebanyak 2,107 kes harian baharu dengan melakukan 58,277 ujian saringan satu hari.

“Dengan maksud lain, kita hari ini mempunyai dua kali ganda kes dengan kadar ujian yang sama yang kita lakukan pada bulan April,” tambahnya lagi.

 
Sumber Facebook anwaribrahim.keadilan

BACA: COVID-19: Kes sporadik di Selangor, Kuala Lumpur tinggi dan membimbangkan - Dr Noor Hisham

Pada Isnin, sebanyak 4,611 kes positif baharu COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam, dengan Selangor terus menjadi negeri tertinggi dengan 1,346 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan pertambahan jangkitan baharu itu, jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 701,019 kes.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, berdasarkan syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 10 hingga 30 ujian mesti dilakukan untuk satu kes positif atau lebih bila terdapat perebakan wabak bagi membendung kes-kes sporadik.

Malaysia, katanya lagi, kini terus menjadi antara negara yang mempunyai kadar kes COVID-19 yang tertinggi di dunia dan kebanyakan kes yang dikesan tidak dikesan dengan mana-mana kluster.

"Menurut syor dari WHO itu, Malaysia seharusnya melakukan sekurang-kurangnya 138,000, atau 300,000 ujian saringan setiap hari. Sekiranya 138,000 ujian saringan dilakukan hari ini, kita pasti akan mengesan lebih 9,000 kes baharu,” tambahnya lagi.

Anwar berkata, Dr Noor Hisham sendiri pada pada 5 Februari lepas memaklumkan bahawa KKM sedang merencana untuk meningkatkan keupayaan pengujian kepada 200,000 satu hari.

Setakat ini, katanya lagi, kes baharu yang paling tinggi dikesan dalam satu hari adalah daripada hasil saringan sebanyak 126,964 pada 29 Mei yang lalu dan ia jauh dari sasaran 200,000 ujian saringan yang disasarkan KKM.

“Malaysia telah berada dalam fasa darurat sejak bulan Januari yang lalu. Saya bingung memikirkan mengapa keupayaan ujian saringan tidak mencapai sasaran yang dibuat dan mengapa kerajaan yang mempunyai kuasa di bawah Ordinan Darurat kini merayu pada sektor swasta bagi membantu dalam rencana ini. Ini bukti nyata kerajaan Perikatan Nasional adalah kerajaan yang gagal," tegasnya lagi.

Anwar mendakwa, kempen vaksinasi juga lemah dan lembab, dengan dos total harian yang disuntik menurun sebanyak 40 peratus sejak hari Khamis yang lalu.

Dengan kadar vaksinasi yang lembab 'selembab siput', Anwar berkata, amat wajar bagi kadar pengujian ditingkatkan bagi melindungi kesihatan rakyat di negara ini.