PUTRAJAYA: Biarpun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 1 Jun 2021 telah memasuki minggu ketiga, namun, jumlah kes harian COVID-19 dilihat masih berada pada paras tinggi, melebihi 4,000 kes sehari.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, kes sporadik juga masih berada pada peratusan yang agak tinggi iaitu 69 peratus atau 398,846 kes sehingga Minggu Epidemiologi ke-54

Katanya, Selangor terus menjadi negeri tertinggi mencatat kes sporadik iaitu sebanyak 151,725 kes atau 38 peratus diikuti Kuala Lumpur 44,517 kes (11.2 peratus) dan Sarawak 44,889 kes (10.3 peratus)

Beliau berkata, kes-kes sporadik bermaksud kes-kes yang dikesan di dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada.

“Kes-kes sporadik ini dikesan melalui saringan di tempat kerja, dalam komuniti ataupun dari saringan kes bergejala.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kes sporadik tersebut tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang berada di sekeliling mereka yang tidak mengamalkan SOP dengan betul,” kata beliau dalam kenyataan pada Isnin.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun PKP 3.0 yang diumumkan pada 12 Mei 2021 (ME ke-19) dilihat telah berjaya mengawal peningkatan kes-kes kluster pada ME ke-24, namun, kes-kes sporadik masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara.

Tambahnya lagi, kawasan Lembah Klang dengan kepadatan penduduk yang tinggi bukan sahaja terdedah kepada bahaya banyak kes sporadik di dalam komuniti, malahan kebanyakan daripada kes COVID-19 tersebut tidak mempunyai gejala.

“Dengan erti kata lain, sukar bagi kita untuk mengetahui siapa yang mempunyai COVID-19 di kalangan kita.

“Oleh itu adalah sangat penting bagi semua pihak mengambil maklum perkara ini dan melindungi diri serta keluarga masing-masing daripada bahaya COVID-19,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menggesa masyarakat untuk terus konsisten dalam mematuhi sepenuhnya SOP, dan mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri sebagai salah satu langkah mendepani peningkatan kes-kes sporadik dan kes COVID-19 tidak bergejala khususnya di kawasan sesak dan berisiko tinggi.