KHARTOUM: Sudan mula menerima bekalan pertama vaksin AstraZeneca melalui inisiatif global COVAX pada Rabu.

Lebih 800,000 dos vaksin AstraZeneca tiba di Bandar Khartoum hasil kerjasama antara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Menurut UNICEF, Sudan merupakan negara pertama di Asia Barat dan rantau Afrika Utara menerima vaksin melalui inisiatif COVAX.

Program itu dibangunkan khusus untuk memberi akses yang adil kepada negara-negara berpendapatan rendah dan menengah susulan masalah bekalan dos global dan logistik terhad.

Vaksin itu adalah sebahagian daripada sejumlah 3.4 juta dos yang akan diterima Sudan melalui inisiatif COVAX.

Menteri Kesihatannya, Omar Ahmed al-Najib berkata program suntikan dos vaksin akan bermula tidak lama lagi dengan memberi keutamaan kepada kakitangan kesihatan dan mereka yang berusia.

Sudan yang mempunyai populasi penduduk seramai 43 juta orang itu merekodkan 28,500 kes jangkitan COVID-19 dengan 1,895 kematian setakat ini.

Ia merupakan sebuah daripada 90 negara yang menerima vaksin percuma melalui inisiatif COVAX.

Sejumlah 90 negara lagi bagaimanapun setuju untuk membayar dos yang bakal diterima.