KUALA LUMPUR :Kementerian Kesihatan (KKM) mengalu-alukan penglibatan lebih ramai sukarelawan perubatan dan kesihatan dalam membantu negara menangani gelombang ketiga COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, koordinasi akan dijalankan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

"Mereka yang berminat boleh menghantar e-mel kepada [email protected] atau [email protected]," katanya pada sidang akhbar yang disiarkan menerusi Facebook KMM di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu, 11 lagi pakar terdiri daripada tiga pakar klinikal awam, lapan pakar perubatan dan pegawai perubatan akan dihantar ke Sabah.

Katanya, setakat ini, seramai 522 anggota pelbagai kategori dan skim perkhidmatan dari dalam Sabah sendiri serta negeri lain, telah digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kota Kinabalu.

Mengenai bekalan pakaian pelindung diri (PPE), beliau berkata, terdapat 19 jenis PPE dalam simpanan KKM dan stok purata di seluruh negara dapat bertahan lebih dua hingga tiga bulan.

"Pada masa yang sama, kelulusan Pusat telah diterima pada 2 Oktober lalu bagi permohonan perolehan secara darurat untuk PPE bagi Sabah memandangkan situasi lebih meruncing di sana," katanya.