KUALA LUMPUR: Tiada Varian Mu COVID-19 di kesan daripada kajian penjujukan genom yang dilaksanakan di Malaysia, setakat ini.

Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), kajian itu dijalankan konsortium merangkumi tujuh makmal di bawahnya, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi, di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, sehingga 30 September, sejumlah 1,312 sampel telah dianalisis oleh konsortium berkenaan dan ini telah meningkatkan jumlah genom yang telah dimuat naik ke GISAID kepada 3,009.

"Sebanyak 1,246 sampel atau 94.9 peratus dikenal pasti sebagai varian jenis Delta, 11 sampel adalah varian Beta dan 55 daripada varian yang lain.

"Sampel-sampel ini dipilih oleh pihak KKM dan diambil dari kesemua negeri termasuk Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, varian Delta ini diketahui lebih merbahaya dengan kadar infektiviti yang lebih tinggi dan boleh menyebabkan timbulnya kluster baru tempatan dengan pantas.

"Mereka yang belum divaksin juga berisiko tinggi untuk mudah mendapat varian delta, justeru vaksinasi adalah perlindungan terbaik melawan varian Delta ini.

"Konsortium ini akan terus memantau penularan varian virus SARS-CoV-2 di Malaysia," ujarnya.

Tambah beliau, maklumat tentang varian dan penularan varian adalah amat penting untuk kerajaan mengambil tindakan yang wajar dan khusus untuk membendung dan mengawal penularan varian-varian yang amat berbahaya, serta menggiatkan lagi program pembangunan vaksin tempatan.

"MOSTI akan terus menerajui bidang penyelidikan dan pembangunan genom dan vaksin bagi menyokong teras menjamin keselamatan dan ketenteraman negara," katanya.