KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi ruang kepada rakyat untuk meneliti keputusan mereka dalam pengambilan vaksin bagi Program Imunisasi Kebangsaan yang akan dijalankan tidak lama lagi.

Perkara itu disuarakan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye ketika ditemu bual Astro AWANI pada Ahad.

Jelasnya, penjelasan mengenai kebaikan vaksin perlu diperhebat terlebih dahulu agar rakyat memahami tanggungjawab mereka dalam memerangi COVID-19.

"Buat sementara, saya rasa kita tidak perlu mewajibkannya (pengambilan vaksin). Apa yang kita harus lakukan buat sementara ialah kita bagi peluang kepada rakyat memahami tujuan suntikan vaksin itu.

"Apabila mereka sudah diberitahu semua maklumat yang tepat, mereka boleh membuat keputusan sendiri. Amat penting bahawa kita bagi peluang kepada rakyat meneliti dan membuat keputusan secara sukarela," jelasnya.

Malah tambah Lam Thye lagi, strategi komunikasi yang lebih efektif juga boleh membantu kerajaan dalam melaksanakan Program Imunisasi Kebangsaan.

Jika tidak dilaksanakan dengan baik, menurutnya, dikhuatiri sambutan rakyat tidak memberangsangkan kepada program berkenaan.

"Kerana ini adalah satu perkara penting, dan telah dinantikan seluruh rakyat Malaysia hampir setahun. Dengan ketibaan vaksin saya rasa kita dapat melaksanakannya dengan berkesan.

"Kita memerlukan satu strategi komunikasi yang efektif dan berkesan, supaya kita boleh beri maklumat tepat kepada seluruh masyarakat di bandar dan luar bandar.

"Kejayaan Program Imunisasi Kebangsaan ini banyak bergantung kepada sambutan masyarakat. Kita hanya boleh dapat kerjasama masyarakat sekiranya mereka memahami segala aspek dengan program imunisasi, termasuk suntikan vaksin, kesan sampingan dan segala kemusykilan ada," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, tambah Lam Thye lagi, semua pihak terutamanya rakyat harus sedar bahawa suntikan vaksin COVID-19 bukan memberi satu tiket untuk tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dalam peperangan menentang COVID-19.

"Sepertimana telah ditekankan berkali-kali untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), rakyat harus sedar sungguhpun suntikan vaksin diberikan, tetapi ini tidak boleh dianggap sebagai tiket membebaskan mereka daripada mematuhi SOP yang telah ditentukan.

"Fakta ini disahkan WHO, mereka juga memaklumkan rakyat bahawa selepas suntikan mereka perlu terus mematuhi SOP," katanya lagi.

Semua berita vaksin COVID-19