JANGAN terperanjat jika anda terserempak tikus berkeliaran pada siang hari kebelakangan ini dalam suasana Perintah Kawalan Pergerkan (PKP).

Penutupan restoran dan warung serta perintah kuarantin menyebabkan punca makanan mamalia pembawa pelbagai penyakit ini berkurangan.

Lebih daripada itu, longkang dan tepi jalan tidak lagi menjadi meja hidangan dengan berakhirnya tabiat membuang bungkusan dan sisa makanan sudah tiga minggu PKP berkuat kuasa.

Kelaparan yang melampau dan naluri untuk terus hidup menyebabkan tikus keluar dari sarang dalam longkang atau terowong dalam tanah untuk berhijrah ke dalam rumah.

Tidak kurang juga kumpulan tikus yang berkeliaran bertindak agresif bercakaran sesama sendiri berebut makanan. Jangan terperanjat jika ada pasangan yang bertarung dan yang menang bertindak kanibal kerana kelaparan.

Menurut pakar pembasmi makhluk perosak, ini adalah masa paling baik bagi pihak berkuasa tempatan bertindak menangani masalah tikus.

Namun 'perangkap' paling efektif adalah kebersihan dan tabiat tidak membuang sisa makanan merata-rata.
Penggunaan perangkap pada waktu ini agak berkesan kerana tikus lapar mudah tertarik kepada umpan makanan.

Agar tidak terdedah kepada bahaya tikus yang mencari punca makanan dan bertapak dalam rumah, penghuni dinasihati menutup ketat sebarang lubang mahupun ruang pada paras lantai. Tikus juga mudah memanjat ikut batang paip yang bersandar di dinding.

Dalam rumah pula, pastikan tiada ruang barangan berselerak yang pasti sesuai untuk tikus bersarang.
Sebolehnya, makanan disimpan dalam balang dan tidak terdedah.

Tikus kelaparan mampu merobek wayar elektrik dan ini berkemungkinan menyebabkan kebakaran.

Tabiat kotor hanya akan memberi kesempatan tikus menyebar sehingga 55 jenis kuman dan patogen tetapi belum ada laporan mampu membawa virus baharu korona.