Malaysia kini jauh berbeza dengan dahulu. Apa yang jelas, tidak mungkin kita dapat membayar walau secebis pengorbanan setiap 'wira' dan 'wirawati' negara untuk mendapat semula tanah Malaya daripada pengganas komunis.

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar berkata, kaum wanita pada ketika itu sanggup belajar menembak dan mengambil alih tugas lelaki untuk mempertahankan negara ketika mereka meredah hutan untuk berperang.

Katanya, keadaan itu jauh lebih berbahaya berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang hanya memerlukan orang ramai untuk tidak keluar dari rumah bagi memutuskan rantaian COVID-19.

"Jadi kita mestilah mendapatkan balik semula semangat itu, semangat sedia berkorban untuk masyarakat, mempertahankan masyarakat kita.

"Tolonglah ikut nasihat pegawai penguat kuasa," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan segelintir rakyat Malaysia yang dilihat masih lagi degil dan mengingkari perintah kerajaan untuk keluar rumah dengan pelbagai alasan remeh.

Dua hari lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan keselamatan menahan 828 individu kerana melanggar PKP walaupun pelaksanaan perintah sudah memasuki hari ke-12.

Hanif berkata, rakyat Malaysia seharusnya mengambil serius perkara ini dan berkorban untuk menyelamatkan negara daripada jangkitan ini.

Sehingga Rabu, Malaysia mencatatkan 43 kematian dengan 2,766 kes positif.