KUALA LUMPUR:Pengurusan Top Glove Corporation Bhd memaklumkan sudah melabur lebih RM20 juta untuk memastikan taraf penginapan pekerja mereka berada pada tahap terbaik.

Pengarah Urusan Top Glove Corporation Berhad, Datuk Lee Kim Meow berkata, selain itu pemeriksaan lanjut mengenai kesihatan pekerja turut dijalankan untuk memastikan mereka benar-benar sihat sebelum operasi dimulakan semula secara berperingkat.

"Ada di antara anda yang mungkin ingat, bahawa kami menerima lawatan dari Jabatan Tenaga Kerja Malaysia, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Mereka telah mengunjungi asrama dan melihat lokasi baharu pemindahan pekerja.

"Mereka juga simpulkan kita mengikuti langkah yang diperlukan yang mengikuti piawaian undang-undang," katanya semasa sidang media maya, pada Selasa.

BACA: PKPD Top Glove: Pasukan khas ditubuhkan selaras gerak kerja

BACA: 
Top Glove jangka perolehan terjejas bagi tahun kewangan 2021

Sebelum ini, sebanyak 28 kilang Top Glove di daerah Klang dilaporkan akan ditutup secara berperingkat susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 membabitkan pekerja kilang terbabit.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penutupan secara berperingkat itu akan diselaraskan oleh Jawatan Kuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor bersama pihak pengurusan Top Glove.

Terbaharu, Ismail memaklumkan, satu pasukan khas diwujudkan bagi menyelaras gerak kerja melibatkan proses saringan, kuarantin dan penutupan kilang Top Glove.

Tegasnya, pasukan itu melibatkan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor, Pejabat Daerah Klang, Majlis Perbandaran Klang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang.