IPOH: Kerajaan negeri Perak kesal dan akan mengambil iktibar di atas kejadian yang berlaku pada program Wow Cuti dan sesi ramah mesra agensi pelancongan Pulau Pinang dan Kedah bersama pengusaha pelancongan, NGO serta rakan media Perak pada 27 April lepas.

Menurut kenyataan Tourism Perak Management Berhad, berdasarkan maklumat Tourism Malaysia Wilayah Utara yang menganjurkan program itu, ia telahpun mendapat kelulusan permit perjalanan rentas negeri daripada pihak PDRM atas tujuan tugasan rasmi.

Ia juga mengikut prosedur yang sedang berkuatkuasa pada ketika ini iaitu dengan menggunakan agensi pelancongan di bawah garis panduan Gelembung Pelancongan (Travel Bubble), imbasan suhu badan dan imbasan MySejahtera di semua lokasi-lokasi yang terlibat.

Di samping itu, ujarnya, daripada  maklumat Tourism Malaysia Wilayah Utara, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga telah dilaksanakan sepanjang program tersebut berlangsung.

 "Bagaimanapun, malangnya pemandu bas yang membawa peserta program didapati positif COVID-19 semasa melakukan swab test di klinik Kesihatan Kampar pada 29 April 2021 bagi tugasan seterusnya, yang mana dia dijadualkan membawa kumpulan peserta lain ke Genting Highland," kata kenyataan itu hari ini.

Jelasnya, pengesanan awal ini menyebabkan semua peserta yang terlibat semasa program berkenaan telah dihubungi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar menjalankan swab test COVID- 19.

Katanya lagi, hasil keputusan ujian saringan peserta lain yang mengikuti program ini didapati negatif dan dinasihatkan untuk melalui prosedur kuarantin di Ulu Kinta bermula 29 April hingga 8 Mei.

"Mereka perlu melakukan swab test kedua pada 6 Mei, manakala tetamu yang terdiri daripada agensi dan rakan-rakan media Perak diarahkan untuk melakukan swab test pada 2 Mei dan memulakan kuarantin di rumah pada hari yang sama sehingga 7 Mei.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan MKN bagi membolehkan langkah pengesanan awal dibuat oleh KKM sebelum ianya merebak dan menjadi tular.

"Kerajaan negeri berasa kesal dan akan mengambil iktibar di atas kejadian yang berlaku dengan akan memastikan SOP yang telah ditetapkan dipatuhi sepenuhnya bagi mana-mana program anjuran kerajaan negeri,” ujarnya.