Tiga hari selepas melancarkan kempen sumbangan untuk pelajar yang tidak pulang ke kampung, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjaya mengumpulkan sejumlah RM105,730 dari pihak-pihak yang bermurah hati.

Sehubungan itu, satu majlis akan diadakan pada Isnin, bagi menyampaikan bantuan berbentuk pek makanan bernilai RM15 kepada setiap seorang pelajar universiti itu yang berada di kampus Gombak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Sumbangan ikhlas ini amat bermakna kepada pelajar yang tetap tinggal di universiti dan tidak boleh keluar dalam tempoh ini, sendirian dan berjauhan daripada keluarga dan orang tersayang.

"Semoga Allah memberi ganjaran ke atas kemurahan hati semua penyumbang dan melindungi kita dari sebarang bahaya COVID-19," kata Bahagian Perhubungan Alumni UIAM dalam satu kenyataan hari ini.

Khamis lalu, bahagian itu memulakan inisiatif tersebut, bertujuan membantu pelajar yang tidak pulang ke kampung sepanjang tempoh PKP yang diumumkan kerajaan berkuat kuasa 18 hingga 31 Mac ini.

Ketika ini, terdapat kira-kira 3,000 pelajar UIAM yang tidak pulang ke kampung halaman dan tinggal di asrama dalam kawasan kampus Gombak.

Kerajaan melaksanakan PKP bagi mencegah penularan wabak COVID-19 dan sepanjang tempoh itu, orang awam tidak dibenarkan keluar tanpa sebab yang kukuh.

Jumaat lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menyampaikan sumbangan kepada pelajar yang menetap di asrama UIAM kampus Kuantan sepanjang pelaksanaan PKP.

Sumbangan berupa 300 bungkusan makanan kering seperti roti, biskut dan minuman bijirin untuk 300 pelajar universiti yang menjalankan tanggungjawab 'berkurung' di kampus itu.

Timbalan Pengarah UIAM Kuantan Prof Datuk Dr Ariff Osman bagaimanapun menasihatkan ibu bapa pelajar yang berada di asrama supaya tidak bimbang kerana UIAM menyediakan makanan percuma sebanyak dua kali sehari sepanjang tempoh pelaksanaan perintah itu.