KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi bayangan keadaan selepas berakhirnya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan masih tidak berubah terutama berkaitan aspek pencegahan.

Jelas Dr Noor Hisham, masyarakat sebaliknya tiada pilihan selain perlu kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan membiasakan diri dengan situasi norma baharu ini.

“Untuk lebih jelas, ketika anda menyelesaikan vaksinasi, misalnya awal tahun depan 2022, kami menjangkakan untuk menyelesaikan vaksinasi untuk 70 peratus penduduk pada suku pertama 2022.

“Pada masa ini, kita tidak boleh menganggap vaksinasi COVID-19 sebagai ‘pasport imuniti’.

"Dengan lebih ramai orang yang akan diberi vaksin, keadaan akan berubah dalam jangka waktu tertentu. Ia akan berkembang.

"Tetapi kami akan terus menilai tindak balas terhadap program imunisasi dalam beberapa bulan ke depan.

"Akan tiba masanya kita dapat mempertimbangkan untuk meringankan langkah pencegahan COVID-19 kita, tetapi tidak pada saat ini.

"Jadi, kita tidak akan punya pilihan selain terus mematuhi norma baru atau prosedur operasi standard (SOP) COVID-19,” jelasnya.

Namun tambah beliau, buat masa ini, rakyat Malaysia perlu meneruskan hidup bersama virus ini dengan meneruskan amalan memakai pelitup muka dan ‘3C dan 3W’.

3C merujuk kepada jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation).

3W merujuk kepada kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).

Malaysia bakal memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula Ahad (21 Februari) sebaik bekalan vaksin COVID-19 daripada syarikat Pfizer-BioNTech tiba.

Semua berita vaksin COVID-19