KUALA LUMPUR: Kemunculan pelbagai varian baharu COVID-19 telah menyebabkan ramai yang mempersoalkan keberkesanan vaksin sedia ada.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna rakyat Malaysia perlu menunggu vaksin baharu kerana meningkatkan sistem imuniti badan menjadi fokus utama. 

Menurut Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Institut Kesihatan Negara (NIH) KKM, Dr. Kalaiarasu M. Peariasamy, vaksin sedia ada masih mampu mengawal gejala COVID-19 yang teruk serta risiko kematian.

"Semua vaksin ini masih berfungsi iaitu mengurangkan risiko masuk hospital disebabkan gejala serius COVID-19. Ini amat penting.

"Disebabkan itu, semua individu yang perlu diberi vaksin, mesti menerima vaksin.

"Ini adalah untuk memberi pertahanan diri terhadap gejala yang serius, walaupun ada pengurangan dari segi tahap keberkesanannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi webinar, bertajuk 'Vaksin? - Tanyakan soalan anda' anjuran Astro AWANI pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Sektor Kawalan Penyakit Cegahan Vaksin, Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr Hanif Zailani berkata vaksin yang disediakan ketika ini adalah memadai untuk memastikan rakyat Malaysia tidak mengalami gejala serius.

"Jika sudah divaksin, risiko untuk mendapat kesan yang teruk berkurangan.

"Walaupun terdapat varian baru dan sebagainya, tak akan kita hendak tunggu vaksin baharu untuk setiap varian baru.

"Jadi, dapatkanlah vaksin sedia ada, masih perlu mendapat vaksin," katanya.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Perubatan Penyakit Berjangkit, Dr Chow Ting Soo berkata tahap fasiliti kesihatan ketika ini berada di tahap kritikal yang memerlukan setiap rakyat Malaysia melindungi diri daripada dijangkiti virus itu atau mengalami kesan parah.

"Kepentingannya, kita hendak orang yang menerima vaksin dapat mengurangkan gejala serius COVID-19 yang memerlukan oksigen, yang perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di mana sistem kesihatan kita ketika ini amat tertekan," katanya.