KUALA LUMPUR:Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tidak menolak kemungkinan virus COVID-19 mampu hidup sehingga lebih sembilan jam di permukaan kulit manusia yang juga boleh meningkatkan risiko dijangkiti virus tersebut.

Jelasnya, berdasarkan kajian yang dijalankan sebelum ini, keadaan itu juga bergantung kepada jenis permukaan termasuk keadaan suhu yang sejuk.

"Ada kajian yang melihat kepada kebolehjangkitan selepas sembilan jam bergantung kepada permukaan kulit contohnya jika permukaan itu sejuk.

"Malah jika ia berlendir, virus yang kekal pada permukaan itu berkemungkinan boleh berjangkit," katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Putrajaya pada Ahad.

Malah, menurut Dr Noor Hisham, kajian yang dijalankan terhadap jenazah yang meninggal dunia akibat COVID-19 juga mendapati swab yang diambil pada permukaan kulit adalah positif.

"Kita telah membuat kajian terhadap jenazah yang dibawa ke tanah perkuburan di mana kita lakukan swab di kulit dan ia didapati positif.

"Jadi bukan hanya cecair dalam badan sahaja positif malah organ lain juga positif termasuk permukaan kulit.

"Oleh kerana itu, kita tidak menggunakan kaedah memandikan jenazah tetapi dengan cara tayamum dan masukkan jenazah ke dalam plastik tanpa membukanya semula bagi mencegah penularan virus itu kepada petugas kesihatan," ujarnya.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)

BACA: Virus dikesan pada permukaan badan mayat pesakit COVID-19 - Dr Noor Hisham

BACA: 871 kes baharu COVID-19, tertinggi dalam sejarah

Justeru, Dr Noor Hisham menyarankan agar orang ramai terus mencuci tangan dan membersihkan mana-mana permukaan dengan menggunakan sabun sebagai langkah mencegah penularan virus itu.

Terdahulu, portal berita AFP melaporkan saintis di Jepun mendapati virus COVID-19 mampu hidup sehingga sembilan jam di permukaan kulit manusia, sekali gus meningkatkan risiko dijangkiti virus berkenaan.



Penemuan terbaharu itu menguatkan lagi keperluan amalan membasuh tangan lebih kerap bagi memerangi pandemik berkenaan.

Kajian yang dilaporkan dalam Jurnal Penyakit Berjangkit Klinikal itu mendedahkan patogen yang menjadi penyebab selsema hanya mampu bertahan di kulit manusia hampir dua jam sebagai perbandingan dengan COVID-19.

Negara mula mencatatkan semula nilai R atau R-Naught (Ro) yang tinggi pada 7 September lalu dengan 1.7 dan nilai yang tinggi ini memberi kesan bersar terhadap nilai R negara.