Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Institut Forensik Perubatan Negara telah menjalankan bedah siasat ke atas satu mayat yang dijangkiti COVID-19.

Menerusi bedah siasat tersebut, Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata virus COVID-19 telah dikesan pada permukaan badan mayat, organ, air kencing dan cecair badan.

Jelasnya, bedah siasat dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 Akta 342.

“Penemuan bedah siasat mendapati terdapat virus COVID-19 dikesan pada permukaan badan mayat melalui analisa Real-time Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Penemuan baru ini adalah selaras dengan pandangan yang dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini dan dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah bersidang pada 15 Mac serta Majlis Perundingan Malaysia, Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao (MCCBCHST) pada 16 Mac.

“Tatacara tersebut merangkumi pengurusan jenazah Islam di mana hanya dibenarkan untuk ditayamum di atas permukaan beg jenazah, manakala bagi mayat bukan Islam apa-apa upacara keagamaan dan tradisi hanya dibuat di atas permukaan beg mayat,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Jumaat.