Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah mengesan virus COVID-19 mutasi jenis D614G berdasarkan ujian awal yang dijalankan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah virus punca penyakit COVID-19 dengan mutasi D614G ini didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar oleh individu 'super spreader'.

Jelasnya, mutasi jenis D614G itu dikesan hasil daripada ujian pengasingan dan kultur terhadap tiga kes daripada Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga dan juga satu kes daripada Kluster Ulu Tiram.

"Terdapat beberapa ujian susulan sedang dijalankan bagi menguji beberapa kes lain termasuk bagi kes indeks kedua-dua kluster ini.

"Setakat ini kedua-dua kluster agak terkawal hasil tindakan kawalan kesihatan awam pantas di lapangan.

"Ini bermakna masyarakat perlu berwaspada dan lebih berhati-hati kerana virus COVID-19 dengan mutasi D614G telah terbukti dikesan di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Sumber Facebook DGHisham

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata mutasi D614G ini ditemui oleh saintis pada Julai 2020 dan berkemungkinan akan menyebabkan kajian vaksin sedia ada tidak merangkumi atau tidak berkesan terhadap mutasi ini.

"Oleh itu, tindakan utama kita adalah masih dengan kaedah menggunakan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam iaitu berdisiplin dalam mengamalkan sepenuhnya SOP yang ditetapkan iaitu penjarakan fizikal, kebersihan kendiri yang tinggi terutama mencuci tangan dengan air dan sabun, serta memakai pelitup muka terutama di tempat awam, tempat sesak, tempat tertutup dan ketika sembang jarak dekat.

"Situasi terkini COVID-19 didapati masih terkawal dan KKM serta agensi-agensi lain masih berusaha membendung penularan COVID-19.

"Kerjasama masyarakat amat diperlukan agar dapat kita sama-sama memutuskan penularan jangkitan COVID-19 daripada segala jenis mutasi sekalipun," ujar beliau.