KUALA LUMPUR:Waktu operasi restoran yang berkonsepkan bar di seluruh Selangor dihadkan sehingga jam 11 malam sahaja berkuatkuasa esok.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata mana-mana pemilik restoran yang gagal mematuhi arahan tersebut akan dibatalkan lesen serta-merta.

“Di samping mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mengekalkan larangan kepada semua jenis kelab malam dan bar untuk beroperasi, restoran yang berkonsepkan bar di seluruh negeri Selangor juga dihadkan operasi sehingga 11 malam sahaja berkuatkuasa Sabtu, 3 Oktober 2020.

“Kegagalan pematuhan arahan ini akan menyebabkan lesen perniagaan mereka dibatalkan serta-merta,” kata Amirudin dalam satu kenyataan pada Jumaat.


Dalam perkembangan yang lain, beliau berkata kerajaan negeri turut mengambil langkah segera untuk menambah baik aplikasi SELangkah.

“Pertama, dengan meletakkan ciri “Peta & Semakan Premis” yang mana pengguna boleh mendapatkan maklumat berkenaan premis-premis yang dilaporkan terdedah kepada COVID-19, beserta tarikh sanitasi premis berkenaan bagi memastikan kunjungan terus selamat.

“Ciri kedua ialah “Semakan Kendiri” yang mana pengguna boleh membuat semakan silang (cross check) sama ada pengguna ada mengunjungi premis-premis yang berisiko dalam tempoh inkubasi.

BACA: Malaysia catat kes baharu tertinggi COVID-19, ini lima tumpuan sidang media Dr Noor Hisham

BACA: COVID-19: Saringan bersasar percuma untuk rakyat Selangor pulang dari Sabah

“Dalam masa akan datang, pengguna juga boleh memeriksa sama ada mereka terdedah kepada individu lain yang telah disahkan menghidap COVID-19,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa terdapat dua kluster baharu telah dikenal pasti di Selangor pada Jumaat.

Dua kluster tersebut ialah Kluster Seri Setia dan Kluster Seri Anggerik.