KUALA LUMPUR:Sebanyak 1,123 kes harian baharu direkodkan pada Sabtu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 71,359 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam satu kenyataan, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,143 kes sembuh direkodkan, menjadikan jumlah kes sembuh COVID-19 kini sebanyak 60,204 kes.

"Negeri-negeri di Lembah Klang melaporkan jumlah kes harian sebanyak 490 kes (43.6 peratus). Sabah melaporkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 391 kes atau 34.8 peratus dan diikuti oleh Kuala Lumpur sebanyak 265 kes (23.6 peratus).

"Sebanyak 40 kes (3.6 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster PTS Sibuga (27 kes) dan Kluster Tembok (13 kes)," katanya.

Beliau juga memaklumkan, terdapat pertambahan empat kes kematian COVID-19 pada Sabtu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 380 kes atau 0.53 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga kini, terdapat 130 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 54 kes memerlukan bantuan pernafasan.