MALAYSIA
KTMB lancar aplikasi KITS Style, perkukuh inovasi MaaS di ASEAN

Bermula dengan ketersambungan First-And-Last-Mile di antara perkhidmatan KTMB dan Lapangan Terbang Senai, usaha ini akan diperluaskan pada masa hadapan untuk laluan domestik dan rentas sempadan. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencatat sebuah lagi kejayaan dalam perjalanan transformasi digitalnya dengan pelancaran KITS Style, sebuah aplikasi gaya hidup digital pertama di Malaysia.
Ringkasan AI
- KTMB melancarkan KITS Style, aplikasi gaya hidup digital pertama Malaysia yang membolehkan tempahan tiket kereta api, hotel, penerbangan, dan perkhidmatan lain.
- Aplikasi ini menyatukan mobiliti dan gaya hidup dalam satu platform, termasuk fungsi AI untuk perancangan perjalanan serta kemudahan pembayaran bil dan beli-belah.
- KTMB turut umum pelan integrasi rel dan udara dengan Capital A serta bakal melancarkan kad prabayar KITS Style Mastercard pada September.
“ Walaupun pada proses pertama kita memperkenalkan KITS ini, ia masih menggunakan kiosk, machine (mesin), mereka kena datang stesen untuk beli dan juga boleh beli melalui online. Tapi dengan ada apps ini, ia boleh diintegrasikan dengan pelbagai lagi fungsi lain.
“Ini kelebihan yang kita lihat dan saya berharap jangan berhenti di sini, ia juga perlu mengintegrasikan dengan perkhidmatan perkhidmatan lain, memang banyak lagi ruang boleh ditambah baik. Ini sebagai satu permulaan yang baik. Saya harap aplikasi ini akan terus dibangunkan dan terus digunakan dengan lebih meluas lagi oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran aplikasi Kits Style di Kuala Lumpur pada Ahad.
Menurut beliau, menerusi KITS Style, pengguna boleh menikmati pelbagai kemudahan termasuk pembelian tiket ETS, KTM Komuter, Shuttle Tebrau, tempahan tiket penerbangan, hotel, pembayaran bil utiliti, pembaharuan insurans kenderaan, penghantaran wang, membeli-belah e-dagang dan perancangan perjalanan dengan KITS AI Journey Planner.
Jelasnya lagi, pelancaran Kits Style bukti usaha KTMB dalam menaik taraf pengalaman perjalanan rakyat Malaysia, menawarkan penyelesaian yang lebih menyeluruh, lancar dan menjimatkan masa.
Lebih membanggakan, pembangunan aplikasi KITS Style ini tidak akan tercapai tanpa kerjasama strategik bersama syarikat swasta tempatan dan antarabangsa.
Acara malam tadi juga menyaksikan pemeteraian MoU antara KTMB dan Capital A, yang bakal menyaksikan pengenalan pakej Fly Rail, mengintegrasikan perjalanan rel dan udara dalam satu ekosistem digital.
Bermula dengan ketersambungan First-And-Last-Mile di antara perkhidmatan KTMB dan Lapangan Terbang Senai, usaha ini akan diperluaskan pada masa hadapan untuk laluan domestik dan rentas sempadan.
Sementara itu, pihak KTMB, dengan kerjasama Mastercard dan MPay, sedang membuat penyediaan demi pelancaran Kad Prabayar KITS Style Mastercard, iaitu kad prabayar transit open-loop pertama di Malaysia dan ASEAN yang dikeluarkan oleh rel operator yang mana kad dalam bentuk maya sudah tersedia melalui aplikasi KITS Style manakala kad fizikal akan mula diperkenalkan pada September nanti.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami