KUALA LUMPUR:Dalam tempoh 24 jam, Malaysia mencatatkan jumlah kes kematian tertinggi iaitu pertambahan sebanyak 12 kes menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat pandemik COVID-19 ialah sebanyak 263.

Berdasarkan rekod kematian yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melibatkan mangsa berusia 14 tahun iaitu kes ke-255.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam masa sama memaklumkan, negara juga merekodkan 1,054 jangkitan baharu sehingga pukul 12 tengah hari ini..

Daripada jumlah berkenaan, 14 merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan tiga warganegara dan 11 bukan warganegara.

Menurut Dr Noor Hisham, Sabah kekal menjadi negeri tertinggi penularan COVID-19 dengan pertambahan sebanyak 678 kes diikuti Lembah Klang (I124 kes).

Beliau juga memberitahu, terdapat 94 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu sebanyak 32 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Situasi terkini COVID-19 di Malaysia.

Sementara jumlah pesakit yang pulih dalam tempoh yang sama pula ialah sebanyak 875 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 23,995 kes.

Dalam sidang media hariannya pada Selasa, Dr Noor Hisham turut mengumumkan, KKM mengenal pasti dua kluster baharu.

Kedua-dua kluster baharu itu ialah Kluster Cergas di daerah Seremban, Negeri Sembilan dan Kluster Permatang di Kulim, Kedah.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)