KUALA LUMPUR: Angka jangkitan baharu COVID-19 sedikit menurun hari ini berbanding semalam apabila mencatatkan 16,840 dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui ciapan di laman Twitternya memaklumkan, tambahan angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam negara kini ialah 1,095,486 kes.

Selangor masih menjadi penyumbang kes harian tertinggi dengan  6,092 kes.

Ini diikuti Kuala Lumpur ( 2,114 ), Kedah (1,281), Johor (1,104), Negeri Sembilan (1,079) dan Sabah (1,066).


Dalam pada itu, sebanyak 12,179 kes sembuh dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 902, 921 kes.

Daripada jumlah kes harian, terdapat 17 kes import manakala 16,823 kes adalah jangkitan tempatan.

Sementara itu sebanyak 134 lagi kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 8,859 kes.

Kes memerlukan rujukan di Unit Rawatan Rapi (ICU) jelasnya sebanyak 1,055 kes, manakala 532 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.