KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 17,352 lagi kes jangkitan harian COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah kumulatif kini 1,862,187.

Jumlah kes baharu yang direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu merupakan paling rendah dalam tempoh sebulan yang lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak merekodkan jumlah kes harian tertinggi dengan 3,714 kes.

Ini diikuti Selangor (2,126), Johor (2,101), Sabah (1,844), Kedah (1,599), Kelantan (1,213) dan Perak (1,082).

Sementara itu, sepanjang 24 jam lalu, 272 kematian akibat COVID-19 direkodkan dan ini menjadikan jumlah kumulatif korban akibat wabak ini ialah 18,491.

Dalam masa sama, 20,201 lagi kes sembuh dilaporkan sekali gus menjadikan individu yang kembali sembuh adalah seramai 1,591,028.

Manakala, jumlah kes aktif COVID-19 di Malaysia adalah pada angka 252,668 kes.

Turut dilaporkan ialah, 975 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 435 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Sementara itu, daripada 17,352 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini, sebanyak 17,084 kes merupakan pesakit kategori 1 dan 2, dimana 11,250 atau 65.9 peratus tiada vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi.

Manakala 268 kes adalah pesakit kategori 3,4 dan 5 dimana 191 kes 71.3 peratus tiada vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi berbanding hanya 77 kes atau 28.7 peratus daripada mereka dalam kategori yang sama telah divaksinasi.

Sebanyak 86 peratus katil Unit Rawatan Rapi (ICU) digunakan di hospital COVID-19 di seluruh negara setakat semalam dimana Kedah merekod kadar penggunaan katil ICU tertinggi sehingga melebihi kapasiti iaitu sebanyak 123 peratus.

Ini diikuti Perak dengan 108 peratus dan Kelantan 103 peratus.

Di Selangor, penggunaan katil ICU masih kekal tinggi dengan 96 peratus setakat semalam manakala Kuala Lumpur pula sebanyak 70 peratus.