KUALA LUMPUR: Sebanyak 79 buah sekolah di Selangor diarah tutup sementara mulai hari ini dan esok selepas kes positif COVID-19 dilaporkan.

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor menyenaraikan sekolah berkenaan yang berada di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Utama, PPD Gombak, PPD Hulu Selangor, PPD Kuala Langat, PPD Sepang, PPD Klang.

Ia melibatkan 18 sekolah di daerah Petaling Perdana, Hulu Langat (19), Klang (15), Gombak (sembilan), Sepang (dua), Hulu Selangor (lima) dan Kuala Langat (dua), menurut kenyataan JPN Selangor pada Isnin. 

Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sri Aman di Petaling Jaya turut ditutup mulai hari ini. 

Perkara itu dimaklumkan oleh Urusetia Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dalam entri terbaharu di Facebook sekolah berkenaan. 

Penutupan bermula 26 sehingga 27 April itu bagi proses sanitasi dan disinfeksi dijalankan di sekolah terbabit.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu sidang media memaklumkan terdapat 53 kluster aktif melibatkan pendidikan dilaporkan hari ini.

Sehingga kini sebanyak 4,868 kes jangkitan COVID-19 dikesan melibatkan sektor pendidikan sejak Januari lalu.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan bertarikh 9 Oktober 2020 turut menegaskan sekolah yang merekodkan kes positif COVID-19 perlu ditutup serta-merta untuk disanitasi, walaupun sekaolah berkenaan belum menerima analisis risiko.

Dr Adham pada April 21 dipetik sebagai berkata, terdapat 53 kluster aktif dari sektor pendidikan dari 90 kluster yang dikesan sejak 1 Januari 2021.

Arahan penutupan sekolah di seluruh negara berkuat kuasa selepas institusi pendidikan merekodkan sejumlah 4,868 kes COVID-19 dari 1 Jan hingga 20 April 2021.

Astro AWANI masih menunggu pengesahan penutupan 79 sekolah berkenaan dari Kementerian Pendidikan.