SEREMBAN: Hanya 10 peratus rakyat di negara ini menolak untuk menerima vaksin COVID-19 sementara dua peratus lagi memilih untuk menunggu bukti keberkesanannya.

Maklum balas rakyat Malaysia itu dikongsi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berdasarkan dapatan yang dilakukan kementerian beliau terhadap 15,000 responden, bulan lalu.

Kajian terkini yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM), kata beliau, mendapati 88 peratus rakyat negara ini bersetuju menerima suntikan vaksin.

“Dapatan mendapati 10 peratus tidak bersetuju, dua peratus tidak pasti. Kajian dilakukan pada bulan April terhadap 15,000 responden (soal selidik) mengenai keselamatan, antaranya ada yang mendakwa perlu tunggu orang lain (ambil) vaksin baru mereka nak ambil juga, nak tengok apa kesan (vaksin),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klinik AMC Medical Seremban 2, di sini pada Khamis.

Lawatan Menteri Kesihatan itu dibuat bagi meninjau inisiatif terbaharu KKM dengan melantik klinik swasta terpilih menjadi PPV.

Katanya, inisiatif itu juga bagi meningkatkan akses kepada rakyat untuk mendapatkan vaksin yang juga diberikan secara percuma.

Mengulas isu kegagalan penerima vaksin hadir seperti dijadualkan, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), ujarnya, bersetuju menggunakan jentera sedia ada untuk mengambil pesakit di rumah.

Menurut Dr Adham, ada dalam kalangan pendaftar vaksin yang tidak peka dengan aplikasi MySejahtera sehingga terlepas tarikh temu janji untuk datang ke PPV yang ditetapkan.