KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini merekodkan sebanyak 972 kes baharu positif COVID-19 di negara ini.

Ia menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 11,308 kes, dengan jumlah kumulatif ialah 41,181.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 967 kes adalah penularan tempatan, manakala selebihnya merupakan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

KKM juga merekodkan lapan kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 294 kes.

BACA: COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)

Dalam pada itu, jumlah pesakit yang pulih pula ialah sebanyak 1,345 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 29,579 kes.

Data CPRC kebangsaan

Menurut Dr Noor Hisham, Sabah mencatatkan sebanyak 370 kes (38.1 peratus) daripada keseluruhan kes positif selain negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 165 kes (17.0 peratus) daripada jumlah keseluruhan.

"Sebanyak 14 kes (1.4 peratus) yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara. Ini melibatkan Kluster PTS Tawau (6 kes), Kluster Penjara Sandakan (4 kes) dan Kluster Penjara Kepayan (4 kes).

"Sehingga kini, terdapat 86 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 31 kes memerlukan bantuan pernafasan. Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan lapan kes kematian berkaitan COVID-19.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 294 kes (0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," katanya dalam sidang media, pada Isnin.

Dalam pada itu kata Dr Noor Hisham, Kluster Bah Perdana yang melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diisytiharkan tamat.

Jelasnya, sehingga 9 November, seramai 55 individu telah disaring di mana sembilan kes dikesan positif COVID-19 dan baki 46 individu adalah negatif selain tiada kes kematian dilaporkan dalam kluster itu.

Selain itu, beliau turut memaklumkan, terdapat enam kluster baharu dikenal pasti pada Isnin.

Ia adalah kluster Nahaba di daerah Kota Belud, serta kluster Numbak di Kota Kinabalu, Sabah; kluster Perigi di Klang, Selangor; kluster Seri Terapi di Kepong, Kuala Lumpur dan Alor Gajah, Melaka; kluster Padang di Kota Tinggi, Johor dan kluster Harmoni yang melibatkan Wilayah Persekutuan Putrajaya.