KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memerlukan sekurang-kurangnya 30 doktor dan 100 anggota paramedik sekiranya mahu menambah hospital medan dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya bersedia untuk membantu kerajaan dalam memerangi COVID-19 namun buat masa ini ATM kekurangan kakitangan dan peralatan.

Menurutnya, sekiranya petugas kesihatan dapat ditambah, pihaknya mampu membina lebih banyak hospital medan pada masa depan.

"Kita mungkin akan mohon daripada kerajaan untuk tambah doktor dan paramedik. Jumlah yang ada setakat ini mampu untuk tampung keperluan kita saja.

"Untuk tambah lebih banyak hospital medan, kalau kita gunakan doktor dan jururawat sedia ada, takut kita kekurangan kakitangan di hospital tentera.

"Kalau nak tambah hospital medan kena tambah cepat. Kita bersedia ambil mereka secara kontrak yang penting disegerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat berkenaan Kesiapsiagaan Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia Bagi Menangani Ancaman Wabak COVID-19 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini, pada Isnin.

Tambah beliau, dua lagi hospital medan telah diwujudkan iaitu di Kapit, Sarawak dan di Pulau Pinang selain Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, di Tawau, Sabah dan Pokok Sena, Kedah sebelum ini.

Jelasnya, hospital medan di Pulau Pinang adalah khusus untuk Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi menampung peningkatan kes-kes kritikal yang semakin mendadak.

"Kita akan tambah 24 (katil). Buat masa ini, kita tambah 18 katil dulu, 24 katil jumlah maksimum.

"Kita akan buat esok, kita akan siapkan dan mulakan esok. Kita mulakan 18 katil dulu dan maksimum sampai 24 katil," ujarnya lagi.