KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua lagi kes varian Omicron di negara ini setakat 31 Disember lalu.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, statistik terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan penularan varian membimbangkan (VOC) adalah sebanyak 64 kes.

Daripada 64 kes jangkitan COVID-19 varian Omicron, sebanyak 32 kes atau 50 peratus dikesan dalam kalangan jemaah umrah.

"KKM ingin memaklumkan bahawa Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 1,077 sampel kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara dari 21 hingga 29 Disember 2021.

"Sebanyak 966 daripadanya telah menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron dan kini menunggu keputusan ujian jujukan penuh (WGS).

"Daripada 966 sampel tersebut, 750 atau 77.6 peratus melibatkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, sehingga 30 Disember, terdapat sembilan kluster yang dikenal pasti melibatkan jemaah umrah.

"Lima  kluster melibatkan kes-kes indeks yang disahkan varian Omicron. Satu kluster melibatkan kes indeks presumptive Omicron – menunggu keputusan Whole Genomic Sequencing (WGS).

"Selain itu, tiga kluster melibatkan kes-kes indeks positif COVID-19 yang bukan varian Omicron," katanya.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, setakat 30 Disember 2021, sebanyak 2,763 kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan pengembara yang tiba di pintu masuk antarabangsa (PMA).

"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,446 kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan pengembara yang tiba dari Arab Saudi, diikuti Singapura (322 kes), Indonesia (264 kes) dan United Kingdom (217 kes).

"Sebagai perbandingan, dalam tempoh 14 hari yang lepas atau dalam minggu epid ke-51 dan 52, kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara yang tiba dari Arab Saudi mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 1,161, berbanding Singapura (13 kes), Indonesia (8 kes) dan United Kingdom (49 kes)," katanya.