KUALA LUMPUR: Jumlah jangkitan baharu COVID-19 hari ini mencatatkan penurunan di bawah 10,000 kes iaitu 9,066 kes dalam tempoh 24 jam selepas kali terakhir merekodkan angka di bawah 10,000 adalah pada 12 Julai lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka jangkitan baharu berkenaan menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 2,277,565.

Menurut beliau, Sarawak kekal sebagai negeri yang melaporkan jangkitan harian tertinggi iaitu sebanyak 1,418 kes diikuti Selangor (1,000) dan Johor (981).

Sementara Terengganu pula merekodkan sebanyak 827 kes.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham memaklumkan, sejumlah 14,454 kes sembuh dilaporkan hari ini, sekali gus melebihi daripada jumlah jangkitan baharu. 

Daripada 9,066 kes harian yang dilaporkan pada Ahad, 159 kes (1.8 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5, manakala 8,907 kes (98.2 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Dalam pada itu, kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 835 kes dengan 535 kes daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sebanyak enam lagi kluster baharu turut dikesan, menjadi jumlah kluster aktif ialah 1,008,

Sementara itu, berdasarkan laporan portal COVIDNOW, sebanyak 109 kes kematian dicatatkan setakat semalam (Sabtu), menjadikan jumlah kumulatif kematian di negara ini adalah 26,565.