PUTRAJAYA:Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di empat daerah di Sabah, kerana kawasan itu telah mencatatkan jumlah kes COVID-19 yang tinggi.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan hari ini berkata, kawasan berkenaan ialah Lahad Datu, Tawau, Kunak, dan Semporna.

Beliau berkata, keputusan itu diambil selepas kesemua empat kawasan berkenaan telah mencatatkan 1,195 kes antara 1 hingga 27 September, 2020.

Menurut beliau lagi, PKPDB secara pentadbiran itu akan berkuatkuasa 12.01 malam ini, sehingga 12 Oktober, 2020.

“Pelaksanaan PKPDB ini bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 dalam daerah tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya lagi.

Sepanjang pelaksanaan PKPDB, Ismail Sabri berkata, semua penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan berkenaan, dan bukan penduduk serta pelawat dilarang masuk ke tempat itu.

Kesemua aktiviti perniagaan pula akan dihentikan, kecuali premis barangan keperluan dan perkhidmatan penting.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan akan membuka pangkalan perubatan di semua kawasan yang telah diwartakan.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas Ibu Pejabat Polis Daerah seperti berikut :

Lahad Datu : 089-881255

Tawau : 089-752222

Kunak : 089-851222

Semporna : 089-782020