KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 18 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kepada 31,609 orang, daripada 2.76 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, tiga daripada 18 kes kematian yang dilaporkan, berlaku di luar hospital (brought-in-dead atau BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 39,739 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 32,509 individu atau 81.8 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 3,574 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 3,399 kes dirawat di hospital dan 257 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 120 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 137 lagi memerlukan mesin ventilator.