SIBU: Majikan diminta bekerjasama untuk tidak mengupah pendatang tanpa izin yang gagal melalui proses kuarantin, ujian calitan atau belum mendapatkan vaksin dalam usaha mengurangkan jumlah kes COVID-19 di Sarawak.

Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu Dr Annuar Rapaee berkata pengambilan kerja golongan tanpa saluran yang sah boleh membahayakan keselamatan negara dan kesihatan rakyat memandangkan mereka mungkin akan menyebarkan wabak jangkitan itu dalam kalangan penduduk tempatan.

Beliau mengesahkan satu kes baharu, varian Delta telah dikesan di Sibu melibatkan seorang pendatang tanpa izin warga Indonesia yang memasuki Sarawak pada 5 Julai lalu.

"Kita perlu berhati-hati dengan pendatang tanpa izin. Saya bukan kata kita tidak boleh mengambil pekerja asing tetapi tolong gunakan saluran yang betul, minta mereka buat ujian calitan, kuarantin dan divaksin (jika majikan mahu mengambil mereka bekerja)," katanya dalam siaran langsung mengenai situasi COVID-19 melalui Facebook beliau semalam.

Dr Annuar, yang juga Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan, berkata wanita warga Indonesia berusia 29 tahun itu didapati positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan RT-PCR pada 7 Julai dan sampel dihantar ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk ujian pengesahan.

Katanya ujian makmal mengesahkan wanita itu dijangkiti varian Delta dan kini mengikuti rawatan di Hospital Sibu.

Justeru Dr Anuar menggesa rakyat Sibu agar terus berwaspada dan patuh dengan ketat prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelakkan penyakit merebak sekali gus membawa kepada peningkatan kes.

Mengenai program vaksinasi di Sibu, katanya, sehingga hari ini sejumlah 201,074 orang telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama dan jumlah yang telah melengkapkan dua dos ialah 122,886 orang.

-- BERNAMA