TASEK GELUGOR: Gagal memastikan penjarakan fizikal, penganjur Bazar Aidilfitri Kubang Menerong, di sini, dikenakan kompaun RM20,000.

Kompaun dikeluarkan polis Seberang Perai Utara selepas pemeriksaan mendapati berlaku kesesakan orang ramai yang berkunjung ke bazar Aidilfitri berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata meskipun pihak penganjur telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang lain seperti menyediakan laluan keluar masuk dan pendaftaran My Sejahtera, namun mereka gagal memastikan aspek penjarakan fizikal.

Beliau berkata hanya 400 pengunjung dibenarkan memasuki bazar berkenaan, namun berlaku kepadatan pengunjung yang memaksa pihaknya mengambil tindakan lebih tegas.

"Walaupun nasihat dan teguran awal telah diberikan beberapa kali, kami dapati penganjur gagal mengawal pengunjung masuk ke bazar.

"Walaupun terdapat tiga jalan masuk dan dua jalan keluar, tetapi masih berlaku pertembungan antara pengunjung sehingga berlaku kesukaran mengawal penjarakan fizikal.

"MBSP telah mengeluarkan notis amaran supaya penganjur mengambil langkah sewajarnya dan mereka mesti selesaikan perkara itu malam ini.

"Bagaimanapun kita kenakan kompaun kerana gagal memastikan pengunjung patuhi penjarakan fizikal dalam keadaan sesak.

"Walaupun pengunjung patuhi SOP, tetapi penjarakan tiada.

"Kita lihat macam di kedai masih ramai, ada pelanggan 10 ke 12 orang dalam satu gerai.

"Jadi polis keluarkan kompaun ke atas penganjur kerana gagal memastikan pengunjung mematuhi penjarakan fizikal," tegasnya.

Noorzainy berkata tindakan tegas berkenaan diambil susulan peningkatan kes COVID-19 ketika ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penganjur supaya terus memperkemaskan SOP sebagaimana yang ditetapkan bagi mengelakkan bazar ditutup sekali gus membawa kerugian kepada mereka.

Beliau berkata demikian kepada media selepas operasi Bersepadu Pematuhan SOP Bazar Aidilfitri di Kepala Batas dan Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada Sabtu malam.

Operasi disertai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Terdahulu, Noorzainy berkata pihaknya berpuas hati dengan penganjuran Bazar Aidilfitri Karnival Mahabbah, di Bertam yang mematuhi SOP yang ditetapkan.