SEPANG: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kini mengalihkan sebahagian fokus promosi dan pemasaran kempen Visit Malaysia (VM) 2026 ke pasaran yang tidak terjejas oleh konflik peperangan.
Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata tumpuan promosi kini diberikan kepada pasaran seperti Jepun, Korea Selatan, China, Australia serta negara-negara Asia lain bagi memastikan momentum pertumbuhan sektor pelancongan negara terus kekal positif.
“Setakat ini, kempen Tahun Melawat Malaysia berjalan dengan lancar.
“Cuma, kita ingin mengalihkan sedikit fokus, negara-negara yang terlibat dengan peperangan, kita alihkan kepada negara lain seperti Jepun, Korea, China, Australia dan juga negara Asia sendiri dari segi promosi dan pemasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Tadau Kaamatan dan Hari Gawai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini hari ini.
Shaharuddin berkata prestasi sektor pelancongan negara bagi suku pertama tahun ini turut kekal mengukuh dan mencerminkan keberkesanan usaha promosi yang dilaksanakan kerajaan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing sebelum ini berkata Malaysia mencatat pencapaian baharu apabila menerima lebih 10.6 juta pelancong antarabangsa antara Januari hingga Mac tahun ini, meningkat 5.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Terdahulu, Shaharuddin merasmikan sambutan Tadau Kaamatan dan Hari Gawai yang diadakan di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA Terminal 1 bagi mempromosikan kepelbagaian budaya Malaysia bersempena dengan TMM 2026.
Program berkenaan dimeriahkan dengan persembahan tarian kebudayaan serta pengagihan cenderamata kepada pelancong yang tiba dari pelbagai destinasi antarabangsa, sekali gus memberikan pengalaman sambutan mesra Malaysia sebaik sahaja mereka menjejakkan kaki ke negara ini.
Tadau Kaamatan dan Hari Gawai merupakan perayaan menuai yang diraikan oleh masyarakat peribumi di Sabah dan Sarawak sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian serta kemakmuran yang dikecapi.
-- BERNAMA