Skip to main content

Dunia

Lima maut, seorang cedera dalam runtuhan lombong haram di Yunnan

AP
Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi di Kampung Baiwu, Pekan Nagu, apabila struktur tanah di kawasan penggalian tanpa lesen itu runtuh secara tiba-tiba dan menimbus pekerja di dalamnya. -Foto AP

KUNMING: Sekurang-kurangnya lima orang maut manakala seorang lagi cedera selepas sebuah tapak perlombongan haram runtuh di daerah Huize, wilayah Yunnan, China, awal pagi Ahad.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 pagi di Kampung Baiwu, Pekan Nagu, apabila struktur tanah di kawasan penggalian tanpa lesen itu runtuh secara tiba-tiba dan menimbus pekerja di dalamnya, lapor China Daily.

Pihak berkuasa tempatan dari Qujing dan Huize memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan sejurus menerima laporan kecemasan.

“Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan enam mangsa daripada runtuhan, namun lima disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

“Seorang lagi mangsa cedera dan kini berada dalam keadaan stabil di hospital,” menurut kenyataan agensi pengurusan kecemasan tempatan.

Laporan media rasmi China menyebut aktiviti perlombongan itu dijalankan secara haram tanpa permit serta tidak mematuhi piawaian keselamatan.

Susulan kejadian, polis telah menahan individu yang dipercayai bertanggungjawab mengendalikan tapak berkenaan bagi membantu siasatan.

Insiden itu menambah kebimbangan terhadap isu keselamatan dalam sektor perlombongan di China, ketika pihak berkuasa memperhebat penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti perlombongan haram.

 

Must Watch Video

Advertisement