NATIONAL
COVID-19: Peralihan fasa di Lembah Klang, Melaka dan Kedah mulai 1 Oktober

Berdasarkan keputusan jawatankuasa yang membenarkan peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 bagi negeri Kedah, ia bermakna tiada lagi negeri berada di Fasa 1 di seluruh negara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 memutuskan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) melibatkan beberapa negeri berkuat kuasa 1 Oktober 2021.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia melibatkan peralihan Fasa 2 kepada Fasa 3 di kawasan Lembah Klang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor.
Sementara, Melaka pula beralih daripada Fasa 2 kepada Fasa 3 dan Kedah pula beralih daripada Fasa 1 kepada Fasa 2.
"Peralihan fasa ini dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)."Berdasarkan keputusan jawatankuasa yang membenarkan peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 bagi negeri Kedah, ia bermakna tiada lagi negeri berada di Fasa 1 di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Status terkini negeri dalam Pelan Pemulihan Negara
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus menguruskan situasi pandemik di negeri masing-masing, demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan.
Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki fasa 2, 3 dan 4, adalah sama dengan sebelum ini.
Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang www.mkn.gov.my.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami