KUALA LUMPUR : Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sembilan lokaliti di Sabah, Terengganu dan Pahang, pada 5 hingga 18 Ogos depan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

Jelas beliau, PKPD di Sabah melibatkan empat lokaliti iaitu Kampung Banjar, Keningau; Kem 3 Sibulu, Tenom; Penampang Baru, Penampang dan Depot Tahanan Imigresen, Tawau.

"Di Terengganu, ia melibatkan Taman Rakyat Bestari Fasa 1-4 dan Rumah Awam Kos Rendah 1 dan 2 di Bukit Kuang, mukim Telok Kalong, Kemaman.

"Selain itu mukim Manir yang terletak di Kuala Terengganu turut dikenakan PKPD," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, di Pahang, dua lokaliti yang dikenakan PKPD ialah FELDA Tersang 1, 2 dan 3, mukim Batu Talam dan FELDA Krau 1, mukim Gali.

Selain itu, Hishammuddin turut mengumumkan PKPD di Kampung Bintawa Hilir, Kuching, Sarawak, yang sepatutnya tamat pada 3 Ogos dilanjutkan berkuat kuasa 4 hingga 17 Ogos depan.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut memaklumkan penamatan PKPD di 13 lokaliti pada 3 dan 4 Ogos ini di Sarawak dan Sabah.

"Kampung Sungai Tapang di Kuching akan ditamatkan PKPD pada 3 Ogos 2021 seperti yang dijadualkan.

"Lima lokaliti yang lain (di Sabah) tamat pada 4 Ogos ini. Lokaliti-lokaliti tersebut adalah Kampung Guruh-Guruh, Sipitang dan empat lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Kilang Papan Lusera, Telipok; Kampung Mogiding Malawa dan Kuarters Pekerja Progresif Perwira; Kampung Sinulihan serta University Utama Kondominium Fasa 2

"Di Pulau Gaya, Kota Kinabalu juga terdapat empat lokaliti yang terlibat dalam penamatan PKPD ini. Lokaliti itu adalah Kampung Pondo, Kampung Kasuapan, Kampung Lok Urai dan Kampung Pulau Gaya," jelas beliau.

Antara lain, dua lokaliti di Sandakan turut ditamatkan PKPD iaitu Kampung Air dan Kampung Bokara.

"Di Tawau, satu lokaliti ditamatkan PKPD iaitu Kampung Sri Menanti," katanya.