KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima lokaliti di Kelantan, Sarawak dan Sabah.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

Hishammuddin memaklumkan, PKPD di semua lima lokaliti itu bermula pada 4 hingga 17 Ogos depan.

Jelasnya, PKPD di Kelantan membabitkan dua lokaliti iaitu Kampung Belian, Mukim Sungai Pinang di Tumpat dan Kampung Tok Sadang di Mukim Badang di Kota Bharu.

Katanya, di Sabah juga terdapat dua lokaliti yang dilaksanakan PKPD membabitkan Kampung Selagon dan Kampung Binsulok di Beaufort manakala satu lokaliti di Sarawak ialah Kuarters Pekerja Ladang Palmlyn di Mukah.

Selain itu, Hishammuddin turut mengumumkan PKPD di 16 lokaliti yang sepatutnya tamat pada 3 Ogos dilanjutkan berkuat kuasa 4 hingga 16 Ogos depan.

"Sepuluh lokaliti di Mukim Kuala Dungun di Dungun membabitkan Sungai Buaya, Tanah Lot, Lembah, Padang Jambu, Nibong, Bukit Chatak, Kampung Molek, Bijangga, Sungai Udang dan Sungai Penaga.

"Dua lagi lokaliti di Terengganu yang dilanjutkan PKPD membabitkan Bandar Cheneh Baru dan FELDA Neram 2 di Mukim Bandi di Kemaman.

"Manakala tiga lokaliti di Mukim Ulu Dong, Raub, Pahang membabitkan Kampung Bedu, Kampung Temalian dan Kampung Pamah Kulat serta satu lokaliti di Sabah membabitkan Kampung Pituru di Papar juga dilanjutkan PKPD" katanya dalam kenyataan harian perkembangan PKP pada Isnin.

Dalam kenyataan yang sama, Hishammuddin turut memaklumkan penamatan PKPD di 13 lokaliti pada 3 Ogos ini di Kelantan, Pahang, Melaka dan Sabah.

"PKPD di Pahang yang ditamatkan adalah di Kampung Kabang dan Kampung Sat di Mukim Ulu Jelai di Lipis, manakala di Melaka membabitkan Penjara Sungau Udang (kecuali Kuarters Penjara) di Melaka Tengah.

"Sembilan lokaliti di Sabah yang ditamatkan PKPD adalah Beverly Hilss Fasa 1 dan Cybercity Fasa 2 di Penampang, Kampung Marau dan Kampung Kebawang di Sipitang, Kampung Meruntum di Putatan, Jalang Kampung Likas Simpang 3, Api-api Centre, Taman Ujana Kingfisher dan Kampung Salut di Kota Kinabalu," katanya lagi.

Selain itu, katanya satu lokaliti di Kelantan iaitu di Kampung Gong Jering, Mukim Bukit Jawa di Pasir Puteh juga ditamatkan PKPD pada 3 Ogos, lebih awal dari yang dijadualkan iaitu pada 9 Ogos.