Skip to main content

Politik

Kongres Nasional PKR bermula, ucapan dasar presiden dinanti perwakilan

KONGRES NASIONAL PKR_FB Parti Keadilan Rakyat
Kongres dua hari ini dilihat sebagai medan penting bagi memperkukuh hala tuju parti, selain menyuntik semula roh perjuangan reformasi yang menjadi asas penubuhan PKR dalam mendepani cabaran landskap politik semasa. - Foto PKR
Advertisement

MELAKA: Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh hari ini menjadi tumpuan apabila ribuan perwakilan dan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari seluruh negara berhimpun bersempena dengan Kongres Nasional PKR 2026.

Membawa tema "Memugar Reformasi, Membina MADANI", kongres selama dua hari itu dilihat sebagai medan penting bagi memperkukuh hala tuju parti, selain menyuntik semula roh perjuangan reformasi yang menjadi asas penubuhan PKR dalam mendepani cabaran landskap politik semasa.

Perdana Menteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan kongres hari ini dan menyampaikan ucapan dasar yang pastinya ditunggu-tunggu oleh perwakilan bagi menggariskan agenda strategik serta hala tuju perjuangan parti untuk tempoh akan datang.

Tirai penganjuran edisi kali ini telah dimulakan semalam menerusi persidangan dua sayap utama, iaitu Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden parti Nurul Izzah Anwar.

Kira-kira 2,500 perwakilan bersama dengan sekurang-kurangnya 3,000 pemerhati dari seluruh negara dijangka menghadiri kongres kali ini.

Kehadiran wakil diplomatik dari beberapa kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan Australia, selain pimpinan parti-parti politik tempatan, memberikan isyarat jelas terhadap keutuhan simbol perpaduan dan kecemerlangan gagasan Malaysia MADANI.

Sesi perbahasan kali ini akan memfokuskan isu "denyut nadi rakyat" merangkumi aspek ekonomi, pendidikan dan kestabilan politik yang akan diperincikan oleh 16 pembahas mewakili setiap negeri serta sayap parti.

Selain menjadi platform memperkukuh kesepaduan kepimpinan, kongres itu juga bertujuan memperbaharu iltizam PKR dalam mempertahankan integriti, menegakkan keadilan sosial serta terus membela golongan rentan.

Menghargai jasa pejuang parti, Anugerah Bill Kayong akan disampaikan kepada lima keluarga sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanan ahli yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi sehingga akhir hayat.

Kongres Nasional PKR 2026 turut melaksanakan kerjasama strategik dengan beberapa kementerian dan agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Pada masa sama, Karnival Rahmah Mega anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka diadakan bersempena dengan kongres berkenaan dan dibuka kepada orang ramai.

Anwar dijadualkan menyampaikan ucapan penggulungan esok sebelum menangguhkan kongres berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement