KUALA LUMPUR: Melihat kepada situasi di Thailand dan Indonesia, negara luar amat agresif mempromosikan kedatangan pelancong China ke negara masing-masing.

Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis memberitahu, rakyat Malaysia seharusnya melihat situasi ini dari sudut positif.

“Pembukaan sempadan negara dilihat memberi nafas baharu kepada industri pelancongan di negara ini walaupun ramai masih takut. Kita perlu realistik bahawa COVID-19 memang kekal ada, apa yang perlu kita buat adalah patuh kepada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya lihat di negara luar contohnya Thailand dan Indonesia terutama Bali, mereka amat mengalu-alukan kedatangan pelancong dari China. Kita jangan ketinggalan dalam hal ini dan jangan emosi.

"Pihak KKM juga perlu merujuk kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ini adalah standard. Sudah sampai masanya untuk kita menerima kedatangan pelancong China dengan tangan terbuka,” katanya yang mengulas tentang impak kemasukan pelancong China dalam program Pantau Kerajaan Baharu.

Dalam masa sama, Uzaidi memberitahu situasi pelancongan kini banyak berubah berbanding semasa fasa prapandemik dahulu.

“Kita kena tukar ‘produk’, kena berlainan sikit daripada zaman prapandemik kerana pada waktu itu kumpulan pelancong China datang dalam kumpulan besar. Dahulu mungkin mereka cenderung untuk aktiviti beli-belah tetapi sekarang mereka memerlukan pengalaman seperti berkhemah, jungle trekking (merentas desa), lung cleansing (aktiviti bersihkan paru-paru), fishing (memancing).

"Mereka mahukan pengalaman baharu. Jadi kita sediakan produk ini sesuai dengan terma yang kita panggil 'New Tourism' (pelancongan baharu),” jelasnya.