KUALA LUMPUR:Pakatan Harapan (PH) menggesa Kerajaan Pusat untuk segera menjalankan ‘Kempen Yakin Vaksin’, bagi memastikan rakyat berasa selamat untuk menggunakan vaksin COVID-19, seterusnya mengurangkan risiko jangkitan virus itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pasukan Petugas Imunisasi PH berkata, langkah itu perlu memandangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan vaksin Pfizer BioNTech akan tiba hujung bulan ini.

Menurut pasukan itu lagi, semua pihak tidak boleh beranggapan bahawa rakyat Malaysia malah juga para petugas barisan hadapan bersedia menerima vaksin apabila program vaksinasi bermula nanti.

“Gerakan anti-vaksin dunia telah berkembang dan tidak boleh dinafikan wujud kelompok “anti-vaxxer” di Malaysia yang tidak mahu mengambil vaksin COVID-19 ini, malah mungkin akan turut menggesa rakan-rakan mereka untuk tidak mengambil vaksin tersebut.

“Dalam era berita palsu ini, suara “anti-vaxxer” amat mudah berkembang melalui media sosial terutamanya,” kata pasukan berkenaan yang dipengerusikan bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

BACA: Perkembangan vaksin COVID-19 di Malaysia

Selain itu, mereka berkata, wujud juga kerisauan pelbagai pihak mengenai satu atau lebih vaksin yang akan digunakan di negara ini.

Biarpun Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin memberi jaminan mana-mana vaksin perlu mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA), namun mereka berpandangan, rakyat tidak mengetahui proses menyeluruh kelulusan berkenaan.

“Tambahan pula, terdapat petanda-petanda yang satu atau lebih vaksin mungkin diberi ‘kelulusan bersyarat’. Oleh itu, amatlah penting asas saintifik serta kadar keberkesanan setiap vaksin yang bakal diguna di Malaysia diterbitkan dengan jelas.

“Satu kempen bersungguh-sungguh bersama saintis, para profesional perubatan, selebriti yang dihormati dan mana-mana tokoh lain yang bersesuaian perlu dilakukan,” menurut kenyataan itu lagi.

Selain Dr Dzulkefly, turut menganggotai pasukan berkenaan ialah bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye, Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yee, Ahli Parlimen Lumut Dr Hatta Ramli, dan Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin.

Dalam pada itu, pasukan berkenaan berkata amat penting untuk melaksana program “jejak dan kesan” bagi setiap dos vaksin dari tempat simpanan hinggalah ke penerima.

Tindakan tersebut, jelas mereka lagi, demi memberi keyakinan tambahan bahawa akan ada tindakan susulan yang bersesuaian berkaitan keberkesanan setiap vaksin bagi setiap individu yang telah diberi vaksin.

Selain itu, mereka berkata, ia dapat mengelakkan vaksin palsu dan sijil vaksin palsu digunakan, seperti mana berlaku di beberapa negara lain.

“Yang paling utama adalah pihak kerajaan perlu mempunyai mekanisme penjejakan dan strategi komunikasi Kesan Tidak Diingini Selepas Imunisasi (Adverse Event Following Immunization, AEFI) yang menyeluruh.

“Jika ini tidak ditangani dengan cermat, berita negatif dari kes-kes AEFI selepas kumpulan penerima vaksin pertama sudah pasti akan menyebabkan kumpulan penerima yang akan datang enggan menerima vaksin COVID-19,” menurut kenyataan itu lagi.