KUALA LUMPUR: Angka jangkitan baharu COVID-19 sedikit menurun hari ini berbanding semalam dengan mencatatkan 13,899 kes dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melalui ciapan di laman Twitternya memaklumkan, tambahan angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam negara kini ialah 2,185,131 kes.

Sarawak menjadi penyumbang kes harian tertinggi dengan 2,712 kes.

Ini diikuti Selangor (2,341), Johor (1,377), Kelantan (1,170) dan Perak (1,128).

Unit rawatan rapi (ICU) setakat ini menempatkan seramai 1,071 pesakit dan daripada jumlah itu, 601 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Manakala kes sembuh hari ini adalah sebanyak 18,074 kes.

Kementerian Kesihatan juga telah mengenal pasti 12 lagi kluster baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu melibatkan lima kluster tempat kerja, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi  dua kluster komuniti, dan masing-masing satu kluster pendidikan dan keagamaan.