KUALA LUMPUR: Cradle Fund Sdn Bhd telah menyumbang RM1.83 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui program geran dan pelaburan sejak penubuhannya pada 2003, kata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

MOSTI berkata Cradle Fund, agensi "focal point" kementerian untuk pemula niaga Malaysia, telah mengagihkan geran bernilai RM255 juta kepada lebih 1,000 usahawan tempatan sejak dua dekad lalu.

"Penerima geran Cradle Fund telah menyumbang sebanyak RM830 juta kepada KDNK tempatan di samping mencapai kadar pengkomersialan tertinggi dalam kalangan penyedia geran kerajaan iaitu 100 peratus untuk geran pengkomersialannya dan 76 peratus bagi program geran prototaipnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehingga kini, penerima geran Cradle telah menyediakan lebih daripada 80,000 peluang pekerjaan.

Sementara itu, program pelaburan Cradle - Cradle Seed Ventures (CSV) dan DEQ800, telah menyumbang sebanyak RM1 bilion kepada KDNK negara melalui 43 portfolio pelaburan, selain memperoleh pelaburan susulan bernilai RM182 juta.

"Sehingga kini, usahawan yang dibiayai oleh program CSV dan DEQ800 telah menyediakan lebih daripada 1,000 pekerjaan," katanya lagi.

Ketika bercakap mengenai MYStartup, komuniti dipacu data yang dimulakan oleh MOSTI dan digerakkan oleh Cradle Fund, kementerian itu berkata inisiatif tersebut telah memberi impak langsung kepada lebih 5,000 pemain industri, dengan platform digitalnya menerima lebih 70,000 lawatan, merekodkan lebih 4,000 pengguna berdaftar dan pendaftaran 3,500 syarikat pemula niaga setakat ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata pemula niaga akan memainkan peranan penting sebagai pemacu penting inovasi, sentiasa mencari peluang untuk mencabar norma dan tidak gentar kepada risiko.

"Pengiktirafan yang diperoleh Cradle melambangkan dedikasi tenaga kerjanya yang sentiasa berusaha untuk memartabatkan usahawan serta mendorong perkembangan ekosistem pemula niaga tempatan selain terus memacu ekosistem berkenaan ke paras baharu," kata beliau semasa Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun ke-20 agensi itu baru-baru ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Fund, Norman Matthieu Vanhaecke berkata mandat yang diamanahkan kepada agensi itu telah mewujudkan pendekatan sinergi yang membolehkan pemula niaga berkembang maju.

"Melalui integrasi yang lancar, syarikat pemula niaga boleh memaksimumkan potensi mereka, mengatasi cabaran dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta penciptaan pekerjaan," katanya.

-- BERNAMA