MARA jalin kerjasama dengan SJTU, tumpu bidang teknologi termaju

Sesi menandatangani dan pertukaran dokumen antara kedua-dua pihak terlibat disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. - Foto DPMO
SHANGHAI: Kerajaan menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) komited memperluaskan jaringan pendidikan ke peringkat global seterusnya membuka lebih banyak peluang pembelajaran bertaraf dunia kepada pelajar Bumiputera.
Ringkasan AI
- MARA komited untuk memperluaskan jaringan pendidikan global dengan pemeteraian MoU bersama Shanghai Jiao Tong University (SJTU).
- Memorandum Persefahaman ini membuka peluang kerjasama strategik dalam bidang akademik, penyelidikan, dan pembangunan kapasiti antara MARA dan SJTU.
- Kerjasama ini memberi peluang kepada pelajar Malaysia untuk meneruskan pelajaran dalam bidang kejuruteraan, kecerdasan buatan, sains komputer, perubatan, dan pengajian maritim di SJTU yang terkenal di peringkat global.
Turut hadir, Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Naib Presiden , SJTU, Liu Weidong.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata pemeteraian MoU antara MARA dan SJTU ini menandakan satu babak baharu dalam kerjasama pendidikan antara kedua-dua institusi.
Ia sekali gus membuka peluang bermakna untuk institusi dan kedua-dua negara.
“Matlamat utama kami adalah untuk mewujudkan satu kerjasama strategik antara MARA dan SJTU dalam bidang pembangunan akademik, penyelidikan serta pembangunan kapasiti, sejajar dengan agenda pendidikan global MARA,” katanya.
Beliau juga yakin bahawa MoU yang dimeterai akan menjadi asas kepada satu perkongsian transformatif antara MARA dan SJTU yang akan memperkasakan pelajar, mempertingkat kerjasama penyelidikan, serta memupuk persahabatan yang berkekalan antara kedua-dua negara.
“Kami berasa teruja dengan kemungkinan SJTU menawarkan biasiswa berasaskan merit, geran makmal, dan pengurangan yuran yang akan meningkatkan akses penyelidik Malaysia ke persekitaran penyelidikan bertaraf dunia,” katanya.
Menerusi kerjasama itu, MARA turut berhasrat memanfaatkan kepakaran SJTU dalam bidang kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI), sains komputer, perubatan dan pengajian maritim.
Turut dicadangkan, penubuhan Jawatankuasa Penasihat Teknikal yang memberi tumpuan kepada bidang seperti analitik data, teknologi hijau dan pengkomersialan penyelidikan melalui seminar bersama, latihan profesional dan program penanda aras.
Berada pada kedudukan ke-47 terbaik dunia dan ke-3 di China, SJTU bakal menyambut ulang tahunnya ke-130 dengan lebih 61,000 penuntut di kesemua tujuh cawangan.
SJTU memberi peluang kepada pelajarnya berinovasi dan mengembangkan bakat dengan persekitaran global, pendidikan bertaraf dunia dan suasana kampus seluas 373 hektar di kota metropolitan Shanghai.
Untuk rekod seramai 235 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pelajaran di SJTU dalam pengajian ijazah pertama dan pasca siswazah.
Majlis pemeteraian MoU itu bersempena lawatan kerja empat hari Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ke China dari 4 hingga 7 November.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


