KUALA LUMPUR: Persatuan Cinta Syria Malaysia (CSM) mensasarkan kutipan dana sebanyak RM1.3 juta bagi Misi Ramadan ke-10 CSM ke bumi Syria dan Turkiye sempena bulan Ramadan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Musa Al-Nuwayri, pelbagai kempen dan usaha telah dijalankan sejak 12 Januari hingga 22 April lalu.

“Insya-Allah, 4 April ini, team CSM bersama Noh Salleh, Faizal Tahir dan Farah Lee akan berangkat ke Syria bagi Misi Ramadan yang ke-10.

"Berbezanya Misi Ramadan tahun ini, bantuan kemanusiaan akan disalurkan juga buat mangsa gempa bumi di Gaziantep, Turkiye dan Jindires, Syria.

"Dana terkumpul akan dimanfaatkan dalam bentuk bantuan keperluan asas seperti makanan dan pakaian baharu bagi meringankan beban mereka sewaktu Ramadan dan persiapan Aidilfitri. Dijangka 51,230 orang rakyat Syria akan menerima manfaat sumbangan ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam majlis amal berbuka puasa Iftar Nur Kasih 2.0 di Bayswater at Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu.

Hasil penjualan tiket Iftar Nur Kasih 2.0 turut disalurkan ke dalam akaun Misi Ramadan CSM ke-10.

Turut menyumbang, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sebanyak RM300,000, Pertubuhan kebajikan Iman Care dan Persatuan Amal Barakah masing-masing menyumbang dana RM40,000 dan RM25,000 kepada tabung Misi Ramadan CSM.

Dalam majlis sama, Ahmad Musa turut merasmikan lapan Projek Kelestarian CSM melibatkan bantuan jangka panjang berbentuk pendidikan, perubatan dan kebajikan pelarian Syria di Syria, Lubnan, Jordan dan Malaysia.