KUALA LUMPUR: CSO Platform for Reform menggesa agar kerajaan bersikap lebih telus dalam membuat pelantikan anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Gabungan 102 badan masyarakat madani itu dalam satu kenyataan berkata, sudah tiba masanya untuk mempunyai mekanisme bebas bagi pelantikan Pesuruhjaya Suhakam yang merangkumi Parlimen atau individu bebas.

Ini katanya bagi menambah keyakinan terhadap suruhanjaya tersebut, dan bukannya diselubungi kerahsiaan yang mencurigakan tanpa sebarang maklumat.

"Berapa ramai yang terpilih, siapa yang disenarai pendek, apakah kriteria yang digunakan dan siapa yang dipilih sebagai Jawatankuasa Pemilihan dan apakah kepakaran mereka terhadap badan ini?

"Kami mengesyorkan bahawa Jawatankuasa Pilihan Parlimen memainkan peranan penting dalam memulakan mekanisme yang lebih bertanggungjawab dan mengamalkan modal amalan terbaik seperti Indonesia di mana proses mereka adalah ketat dengan banyak penglibatan penelitian awam," kata  CSO Platform for Reform dalam kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pelantikan lapan anggota baharu Suhakam bagi sesi 2022 hingga 2025 dibuat mengikut Subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).

Pelantikan tersebut turut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mereka adalah Prof. Datuk Rahmat Mohamad; Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal; Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Dr. Chew Chee Ming (Sarawak); Datuk Mary@Mariati Robert (Sabah); Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican; Nazira Abdul Rahim serta Ragunath Kesavan.

Mengulas lanjut, CSO Platform for Reform berkata majoriti nama baharu yang dikemukakan tidak memberi keyakinan dalam kalangan badan masyarakat madani di negara ini dalam menegakkan prinsip Hak Asasi Manusia Sejagat.

Gabungan itu menambah, Malaysia tidak mampu berdiri dengan bangga dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sambil berdepan situasi politik domestik lemah sehingga menjejaskan hak asasi manusia di negara ini.

Pihaknya juga menuntut jawapan daripada kerajaan berhubung pelantikan tersebut.