Kerajaan Negeri akan menempatkan pasukan perubatan di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA'19) di Langkawi bagi mengendalikan sebarang kes kecemasan sepanjang pameran itu berlangsung.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata antara sektor kecemasan yang akan diberi perhatian adalah strok haba yang mungkin dialami pengunjung dan pihak terlibat dalam pameran itu susulan cuaca panas.

"Kerajaan Negeri mengambil maklum keadaan cuaca panas di Kedah sekali gus bersedia dengan sebarang kemungkinan berlaku sesuatu sepanjang pameran itu.

"Untuk LIMA ini apa saya boleh cakap kita (Kerajaan Negeri) ada medical team, kita mobilise emergency team ini di Langkawi nanti dan akan alert kepada insiden kemungkinan berlaku serangan strok haba," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya pada Selasa.

Selain itu, pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Bahiyah, di sini dan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi akan digerakkan bagi memastikan jumlah pasukan perubatan yang bertugas sepanjang pameran mencukupi.

LIMA'19 akan berlangsung dari 26-30 Mac ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Ismail menasihati orang ramai di negeri ini terutama kanak-kanak dan warga emas untuk mengurangkan aktiviti luar bagi mengelak daripada terkena strok haba.

Dua golongan terbabit berisiko tinggi menerima gejala itu jika terdedah kepada cuaca panas secara berlebihan.

"Mereka juga kena minum air mencukupi sekurang-kurangnya lebih dua liter sehari untuk elak dehidrasi dan strok haba. Mengantuk keterlaluan juga antara simptom dehidrasi yang menjadi antara tanda peringkat awal boleh berlaku strok haba," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata beberapa kawasan di Utara Semenanjung terutama di Sik, Kedah dan Chuping, Perlis diramal mengalami kemuncak suhu panas sehingga 38 darjah Celcius pada akhir bulan ini atau awal April.

-- BERNAMA