GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang telah mengarahkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) untuk menyusun semula pelan tindakan bagi memastikan rizab air mentah di Empangan Air Itam dapat bertahan sehingga 120 hari lagi.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata rizab air mentah di empangan itu ketika ini semakin berkurangan, kekal sehingga musim hujan berikutnya pada September depan.

"Tahun ini kapasiti efektif Empangan Air Itam menurun sebanyak 41.4 peratus dalam tempoh 129 hari iaitu bermula 1 Jan hingga 9 Mei lepas dan ketika ini, ia mempunyai kapasiti efektif sebanyak 41.1 peratus yang berpotensi bertahan selama 120 hari lagi sehingga musim hujan yang dijangka pada September nanti.

"Jabatan Meteorologi Malaysia menyiarkan kenyataan mengumumkan bahawa musim Monsun Barat Daya yang lebih kering akan bermula esok... diharapkan terdapat sedikit hujan di kawasan tadahan air Empangan Air Itam untuk membantu mengekalkan rizab empangan sehingga September," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata PBAPP berkemungkinan menguruskan rizab air mentah di Empangan Air Itam untuk bertahan sehingga musim hujan berikutnya sambil mengekalkan perkhidmatan bekalan air yang sewajarnya di Air Itam.

Chow yang juga Pengerusi PBAPP berkata perbadanan itu telah melakukan tugas yang baik dalam mengurangkan kawasan liputan bekalan air di Empangan Air Itam untuk merangkumi premis 6,000 pengguna air di Air Itam.

Beliau berkata ini bermakna pada Mei hanya kira-kira 6,000 pengguna air bergantung kepada air terawat yang dihasilkan di Air Itam sendiri berbanding kira-kira 28,948 pengguna pada waktu biasa.

"Penyesuaian ini dilakukan melalui pengepaman strategik lebih banyak air terawat daripada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua untuk sampai kepada pengguna yang tinggal di kawasan sekitar Air Itam dan mengurangkan kawasan liputan bekalan membolehkan PBAPP meminimumkan pelepasan harian dari Empangan Air Itam dengan ketara,'' katanya.

Dalam pada itu, Chow berkata sejak 1 Jan lepas, PBAPP juga telah melaksanakan langkah-langkah kejuruteraan kawalan cuaca kering yang lain untuk meminimumkan pelepasan daripada Empangan Air Itam dan kawalan itu telah diperketatkan secara beransur-ansur apabila kapasiti efektif empangan terus menyusut.

Menurut Chow, PBAPP juga mempunyai pilihan untuk terus mengetatkan langkah kejuruteraan kawalan cuaca keringnya, bagaimanapun kawalan yang lebih ketat mungkin menjejaskan perkhidmatan bekalan air.

''Kami tidak mahu menyulitkan orang ramai dan perniagaan. Oleh itu, PBAPP hanya akan melaksanakan langkah kawalan yang lebih ketat di Pulau Pinang apabila ia benar-benar perlu dan kami akan memaklumkan kepada orang ramai lebih awal dengan sewajarnya,'' katanya.

-- BERNAMA