BERLIN: Jerman bersedia untuk menyumbang dalam operasi pembersihan periuk api di Selat Hormuz, namun sebarang penghantaran sedemikian mesti dipersetujui oleh kedua-dua pihak iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Iran, kata Menteri Luar Johann Wadephul pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.
Bercakap kepada saluran penyiaran Jerman n-tv, Wadephul menyatakan bahawa kapal penyapu periuk api Jerman, Fulda, dan kapal pembekal, Mosel, telah pun ditempatkan di Timur Mediterranean.
Menurut beliau, kedua-dua kapal berkenaan bersedia untuk belayar ke wilayah Hormuz sekiranya syarat-syarat tertentu dipenuhi.
"Kami perlu tahu bahawa misi sedemikian sememangnya dikehendaki - dan ini melibatkan kedua-dua belah pihak," kata Wadephul.
"Lagipun, kita tidak boleh begitu sahaja memasuki kawasan berkenaan jika satu pihak - khususnya pihak Iran - tidak bersetuju dan akhirnya melepaskan tembakan ke arah kita. Keadaan itu pastinya sesuatu yang tidak ideal."
-- BERNAMA-ANADOLU