Jumlah pelancong ke Terengganu tidak terjejas walaupun keadaan cuaca panas dan kering pada masa ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri Datuk Mohd Jidin Shafee.

Beliau berkata kedatangan pelancong terutama ke pulau-pulau termasuk Pulau Redang dan Pulau Perhentian amat menggalakkan, begitu juga dengan pulau yang terdapat di Tasik Kenyir terutama di Taman Burung.

Mengikut statistik, katanya kedatangan pelancong ke Pulau Perhentian pada Mac lepas, merekodkan seramai 19,621 orang berbanding 18,246 bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Kedatangan pelancong ke Pulau Redang pada Mac lepas pula seramai 13,266 berbanding 11,583 orang dalam tempoh sama tahun lalu, manakala bagi April 12,680 pelancong berbanding 10,560 bagi tempoh sama tahun lepas.

"Statistik kedatangan pelancong ke Terengganu pada 2014 pula adalah seramai 4.5 juta orang, manakala pada tahun lepas 4.7 juta. Sasaran kedatangan pelancong ke Terengganu tahun ini seramai 5 juta orang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Mengambat Ikan 2016 di Pengkalan Merbau, Sungai Nerus di sini hari ini. Program itu anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian bersama kerajaan negeri.

Mohd Jidin berkata dari segi pendapatan pada 2014, sektor pelancongan menyumbangkan RM4.5 bilion manakala pada 2015 sebanyak RM4.65 bilion. Sasaran pada tahun ini ialah RM5 bilion.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri akan membangunkan Pulau Bidong dengan prasarana baharu berikutan permintaan yang tinggi dalam kalangan warga Vietnam yang lahir di pulau berkenaan.

Mohd Jidin Shafee berkata kerajaan telah menerima surat daripada rakyat Vietnam itu, yang ingin mengunjungi dan berkhemah di pulau itu melibatkan antara 1,000 dan 3,000 orang.

"Ketika ini, pulau penuh sejarah itu mempunyai tandas, tempat persalinan dan galeri dasar laut. Cuma yang kita perlu perbaiki, antaranya melantik beberapa pekerja bagi memastikan keselamatan pengunjung ke pulau itu serta lain-lain keperluan," katanya.

Pulau Bidong mempunyai nilai sejarah kepada rakyat Vietnam dan kebanyakan mereka yang berkunjung ke pulau berkenaan adalah bagi melihat dan membersihkan kubur nenek moyang mereka.