GERIK: Seorang pemandu treler didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memandu dengan cuai sehingga mengakibatkan kemalangan yang meragut nyawa seorang bayi dalam kan­dungan, Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Alias Awang, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Savinder Singh.

Mahkamah turut memerintahkan Alias dikenakan hukuman penjara 12 bulan jika gagal menjelaskan denda.

Mahkamah juga memerintahkan butiran sabitan tertuduh dinyatakan dalam mana-mana lesen memandu miliknya.

Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada empat anak yang memandu treler jenis Hino itu didakwa memandu kenderaan tersebut di jalan raya tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya terhadap orang lain yang menggunakan jalan berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 69, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di dalam daerah Gerik pada jam 10.50 pagi, 29 Oktober 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), yang membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan selain butiran kesalahan wajib dinyatakan dalam lesen memandu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Atiyah Shafiee manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Murni Che Mood.

Terdahulu, Nur Murni memohon hukuman denda dikurangkan mengambil kira kesalahan itu adalah kesalahan pertama anak guamnya selain pengakuan salah lelaki itu yang telah menjimatkan masa dan kos pihak-pihak terlibat.

Nor Atiyah bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, kemalangan berlaku ketika treler dipandu tertuduh dalam perjalanan dari arah Gerik ke Jeli, Kelantan manakala empat kereta dari arah Jeli ke Gerik.

Apabila tiba di tempat kejadian, muatan siling dari treler telah terjatuh dan terkena pada kereta Honda City, kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Subaru Forester, Perodua Alza dan Honda Civic.

Akibat daripada kemalangan itu, penumpang hadapan SUV jenis Subaru Forester parah termasuk mengalami keguguran bayi di dalam kandungan berusia lapan bulan.